Pemain Australia berusia 34 tahun itu mencatat 65 pukulan, tujuh bawah par pada hari terakhir untuk mengumpul 262 pukulan, 26 di bawah par keseluruhan, sekali gus mengatasi cabaran sengit Emiliano Grillo, Chesson Hadley serta Bronson Burgoon.

Kejayaan keempat dalam siri Jelajah PGA itu menyaksikan Leishman membawa pulang wang tunai AS$1.26 juta (RM5.23 juta).

Juara dua kali, Justin Thomas menamatkan saingan di kedudukan kelima bersama Abraham Ancer, Charles Howell III, Gary Woodland dan Louis Oosthuizen selepas masing-masing mengumpul 268 pukulan, 20 di bawah par secara keseluruhan manakala juara bertahan, Pat Perez berkongsi kedudukan ke-63 dengan 284 pukulan.

“Saya sangat gembira akhirnya meraih satu lagi kemenangan.

“Sudah lebih setahun saya tidak meraih kejuaraan. Saya ada beberapa peluang sebelum ini tetapi gagal menyempurnakannya.

“Saya bertekad untuk cuba memenangi sesuatu sebelum menutup tahun 2018 dan kemenangan hari ini sangat menakjubkan.

“Anak-anak saya pasti gembira saya pulang bersama trofi,” kata Leishman, yang mencatat tujuh birdie pada hari terakhir.

Kejuaraan terakhir Leishman, bapa kepada tiga orang hadir pada September, 2017 apabila dia menjuarai Kejohanan BMW di Illinois, Amerika Syarikat. - UTUSAN ONLINE