Aksi di TPC Kuala Lumpur di Bukit Kiara, menyaksikan pemain berusia 25 tahun yang berasal dari Seoul itu melakukan pukulan selubang (hole-in-one) di lubang ke-15 bagi membolehkannya membawa pulang kenderaan bernilai lebih RM500,000 itu.

Dia mengakui sangat gembira dengan hadiah itu dan ini kali pertama dia berjaya melakukan pukulan selubang dalam mana-mana kejohanan yang disertai­nya.

“Saya menggunakan Iron 5 untuk melakukan pukulan itu, bola jatuh tepat ke dalam kawasan green dan kemudian masuk ke dalam lubang. Bagi saya ia adalah pukulan yang sempurna.

“BMW 7 Series merupakan sesuatu yang sangat istimewa. Saya baru sahaja membeli sebuah kediaman di Dallas dan me­rancang untuk membeli sebuah kereta, sekarang saya ada sebuah kereta yang cukup istimewa,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Whee mengakhiri pusingan ketiga dengan catatan 71 pukulan, satu di bawah par dan mengumpul 214 pukulan, dua di bawah par untuk berkongsi kedudukan ke-51.

Sementara itu, pemain Amerika Syarikat (AS), Pat Perez sema­kin hampir untuk meraih kejua­raan selepas berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu hari ketiga.

Pemain berusia 41 tahun itu mencatatkan 64 pukulan, lapan di bawah par dalam aksi hari ini untuk mengumpul 195 pukulan, 21 di bawah par.

Dia berkelebihan empat pukulan mengatasi pencabar terdekat, Xander Schauffele dari Australia yang meraih 199 pukulan, 17 bawah par secara keseluruhan.

Catatan satu bogey di lubang ke-13 tidak menghalang kecemerlangan Perez untuk melakukan sembilan birdie bagi mencerahkan laluan merangkul kejuaraan pertamanya di sini.

Pemain Korea Selatan, Sung Kang berada di kedudukan ketiga dan berpeluang untuk mencabar kejuaraan edisi kali ini selepas melakukan 65 pukulan, tujuh di bawah par untuk mengumpul 200 pukulan, 16 di bawah par secara keseluruhan.