Pemain golf dari Paraguay itu muncul sebagai juara kejohanan sama musim lalu dengan perbezaan satu pukulan daripada pemain di kedudukan kedua, David Lipsky dari Amerika Syarikat.

Pemenang dua kali Jelajah Eropah itu berkata, jaguh-jaguh dunia lain pasti akan bermain lebih baik pada aksi kali ini di Saujana Golf & Country Club, malah percaya banyak birdie akan dilakukan oleh semua pencabarnya.

“Anda perlu bersabar apabila bermain di sini, semua pemain akan melakukan lebih banyak birdie dan anda harus memanfaatkan segala peluang dengan sebaiknya.

“Biarpun gagal melakukan birdie tetapi anda tetap harus bersabar sepanjang minggu ini.

“Dalam masa sama, saya juga tidak akan melupakan kenangan manis muncul juara di sini pada tahun lalu,” kata Zanotti.

Zanotti meraih kejuaraan Kejohanan Maybank itu selepas mencatat sembilan bawah par 63 pada pusingan keempat bagi mengumpul 269 pukulan 19 di bawah par.

Kali pertama Zanotti meraih gelaran Jelajah Eropah ialah sewaktu mengungguli kejohanan Terbuka Antarabangsa BMW 2014.

Gelaran tersebut memboleh­kannya muncul sebagai pemain Paraguay pertama memenangi Jelajah Eropah sebelum menjuarai Kejohanan Maybank tahun lalu.

Dalam pada itu, pencapaian tiga kali meraih kedudukan tiga terbaik musim lalu dan menamatkan aksi dalam kelompok 10 terbaik Kejohanan Abu Dhabi HSBC membuatkan Zanotti le­bih berkeyakinan menghadapi semua aksi sepanjang 2018.