Kelly, 25, melakukan birdie putt di lubang pertama untuk mengetepikan pemain tuan rumah, Demi Runas dalam pertarungan playoff sudden-death di The Country Club of Winter Heaven.

Kedua-dua pemain sebelum itu terikat dengan 13 bawah par 203 keseluruhan selepas melengkapkan 54 lubang.

Kemenangan membolehkan Kelly membawa pulang hadiah AS$18,750 (RM77,000).

“Saya masih mencari rentak, jadi ia sesuatu yang hebat dapat menang di sini.

“Selepas gagal melepasi cut (kelayakan) minggu lalu, saya benar-benar kecewa kerana memasuki musim ini bersama keyakinan tinggi. Mungkin saya terlalu teruja.

“Saya tidak pernah merasa seperti ini dalam mana-mana situasi, harap ia sesuatu yang hebat dan dapat meningkatkan tahap keyakinan,” kata Kelly dipetik dalam laman web Jelajah LPGA (Persatuan Pemain Golf Wanita Profesional).

Pemain kelahiran Batu Pahat itu muncul Rookie Terbaik Jelajah LPGA 2014 dan mula beraksi di pentas besar pada 2017, namun dia gagal meraih sebarang keputusan baik sebelum menyertai Jelajah Symetra tahun lalu. - UTUSAN ONLINE