Begitupun, cuaca panas yang kini melanda Malaysia mahu digunakan sepenuhnya oleh pemain tempatan seperti Gavin Green dan Nicholas Fung untuk mencari keputusan terbaik sepanjang kejohanan bernilai AS$3 juta (RM12.24 juta).

Bintang Asia seperti juara bertahan, Shubhankar Sharma dari India dan rakan senegara, Arjun Atwal, selain jaguh ve­teran Thailand, Thongchai Jaidee yang sudah biasa beraksi di bawah cuaca panas juga bersedia untuk memberi cabaran terbaik dalam kejohanan yang diiktiraf bersama Jelajah Eropah dan Asia itu.

Kapten Piala Ryder Eropah 2020, Harrington mengakui, Kejohanan Maybank kali ini amat mencabar pemain Eropah kerana cuaca panas yang melanda Malaysia.

“Permukaan green di sini juga amat sukar dan anda perlu melakukan pukulan yang benar-benar berkualiti untuk meletakkan bola dengan baik,” kata bintang Ireland itu.

Bagi Nicholas, 28, yang yang akan memulakan aksi esok pada pukul 1 petang ketika cuaca dijangka mencecah 40 darjah Celcius, keadaan terik diharap memberi kelebihan buatnya berbanding pesaing dari Eropah.

“Saya jangka aksi dalam panas terik akan menjadi cabaran buat semua pemain dalam masa sama ia mungkin menjadi kelebihan besar buat saya di sini.

“Dalam kejohanan kali ini saya tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik namun sekadar berharap dapat melakukan yang terbaik daripada aksi 2016.

“Saya mahu turun bermain dan menikmati setiap pukulan saya,” kata Nicholas dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, Gavin, 26, berkata, tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan presta­sinya ketika ini dan dia bersedia untuk menampilkan aksi terbaik di Malaysia.

“Saya akui prestasi kadangkala tidak menentu namun bagi saya semuanya masih berada pada landasan terbaik.

“Beraksi semula dalam Kejohanan Maybank 2019 di laman sendiri adalah sesuatu yang mengujakan.

“Bagaimanapun saya terpaksa akui apabila bermain di hadapan terlalu ramai penyokong anda kadang-kala ia menyukarkan,” katanya, yang menutup saingan tahun lalu di tangga ke-30.