Kejohanan tahunan MFGA di Kelab Golf Sungai Long (SLGCC) dekat sini baru-baru ini, yang diser­tai kira-kra 52 ahli MFGA dan 38 pemain jemputan itu menobatkan ahli MFGA, Nazri Sulaiman sebagai juara Order of Merit setelah berjaya mengumpul 1,680 mata selepas mengharungi lapan pusingan kelayakan.

Sementara itu, seorang lagi ahli merangkap Kapten MFGA, Mohd. Haris Ahmad menduduki tempat kedua selepas mengumpul 1,520 mata, manakala tempat ketiga milik Yuzer Yusoff dengan 1,440 mata.

Ketiga-tiga pemenang membawa pulang piala dan baucar barangan golf, dan hadiah disampaikan oleh bekas Presiden MFGA, Datuk Rashid Khan diiringi Pre­siden MFGA, Zulkifli Mohd. Razali.

Bagi kategori Medal A pula, Mohd. Nor Puasa muncul juara selepas mengumpul 39 mata, mengalahkan Dzulkarnain Baharudin di tempat kedua, juga 39 mata dan Wan Azfar di tempat ketiga dengan 38 mata.

Sementara bagi Kategori Me­dal B, juara menjadi milik Dorris Cheng dengan 39 mata, tempat kedua Mizal Yusri (37 mata) dan ketiga Yuzer Yusoff (36 mata).

Manakala bagi Kategori Jemputan, Mohd. Akib Rashid yang memperoleh 40 mata ditabalkan sebagai juara mengalahkan Eric Chin di tempat kedua dengan 38 mata dan Mohd. Nazeri Junus di kedudukan ketiga juga dengan 38 mata.

Dalam ucapan sebelum pe­nyampaian hadiah, Zulkifli melahirkan rasa bangga dan terima kasih kepada semua ahli, penaja dan media kerana memberi kerjasama yang baik dalam menja­yakan kejohanan yang memasuki edisi ke-30.

“Insya-Allah pada tahun 2018 kita akan meneruskan kejohanan tradisi MFGA ini dan mengharapkan lebih ramai lagi yang akan menyertainya,” ujarnya.