Pemain berusia 24 tahun itu mencatatkan 73 pukulan, satu di atas par untuk berkongsi kedudukan ke-60 bersama enam pemain lain.

Green yang berada dalam kumpulan bersama juara bertahan dua kali, Justin Thomas dan Xander Schaufelle memberitahu, dia memulakan aksi dengan baik sebelum mengakhiri saingan hari pertama dengan keputusan yang teruk.

Katanya, dia melakukan double bogey di lubang ketujuh dan bogey di lubang kesembilan serta 12, selain gagal melakukan putt dengan baik di beberapa lubang.

“Sangat baik untuk saya beraksi bersama Justin dan Xander, terasa seperti bermain di zaman kolej dahulu tetapi pengakhirannya agak sukar buat saya.

“Saya gagal melakukan beberapa pukulan pertama dengan baik dan perkara itu memberi kesan kepada catatan hari ini,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan pusingan pertama.

Mengulas mengenai persediaan esok, Green memberitahu, dia akan mengekalkan corak permainan sama dan tidak mahu terlalu agresif dalam lapangan.

“Anda tidak boleh terlalu agresif semasa di dalam lapangan kerana ia akan memberi kesan buruk kepada catatan hari itu.

“Pukulan pertama yang teruk di lubang ketujuh memberi kesan buruk kepada markah saya hari ini, seandainya tidak, saya sudah mengumpul satu di bawah par hari ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE