Pemain Amerika Syarikat (AS) berusia 42 tahun itu berkata, keadaan padang jelas lebih sukar kerana bola lebih kerap bergolek berbanding beberapa tahun lalu tetapi secara keseluruhannya keadaan lapangan itu sangat memuaskan hati.

Katanya, dia juga sedang cuba melakukan beberapa pukulan baharu untuk kejohanan itu dan catatan dua di bawah par pada hari pertama adalah sangat baik

"Pukulan-pukulan baharu ini membolehkan saya mendapatkan jarak lebih jauh tetapi akan memakan masa kerana lapangan ini agak mengelirukan sekiranya bola tidak berada di dalam kawasan permainan.

"Pada ketika ini saya rasakan lapangan ini banyak perubahan, lebih keras dan bola bergolek lebih jauh semasa di atas fairway selain green yang sangat laju. Secara keseluruhannya, saya rasakan lapangan ini sangat baik.

"Bagaimanapun, saya cukup terhibur kerana dapat beraksi bersama Justin (Thomas) dan Ryan (Moore) hari ini," katanya yang berkongsi kedudukan ke-35 dengan 70 pukulan.

Sementara itu, Austin Cook yang menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan 64 pukulan, lapan di bawah par mengakui TPC Kuala Lumpur sangat sesuai dengan corak permainannya, meskipun kali pertama beraksi di sini.

Katanya, walaupun lapangan itu tidak panjang tetapi memberi kelebihan buat pemain-pemain yang memiliki jarak pukulan jauh.
 

"Jarak pukulan saya tidak begitu jauh seperti pemain-pemain lain tetapi penggunaan strategi tepat sangat penting untuk aksi di sini dan ia memberi manfaat kepada saya.

"Ini adalah kali pertama saya beraksi di kejohanan ini dan merupakan kali pertama saya beraksi di Asia,"  katanya.-UTUSAN ONLINE