PEMINAT golf berpeluang bertemu legenda bola sepak, Nemanja Vidic dan Luis Garcia.

Penganjur akan mengadakan kelas Yoga setiap hari, selain persembahan tarian Maybank KataKatha ASEAN dan kelas memasak Master Classes oleh pemenang Master Chef Australia, Diana Chan dan Sashi Cheliah.

Pengunjung kejohanan juga berpeluang terlibat dalam sesi ramah mesra bertemu peminat bersama legenda bola sepak Manchester United dan Barcelona, Nemanja Vidic serta Luis Garcia.

Bagi penggemar fesyen, mereka akan disajikan dengan pertunjukan Maybank Women Eco-Weavers.

Penggemar makanan pula boleh menikmati sajian kulinari menarik dari sebuah armada trak makanan dan kemudian membakar kalori dalam Cabaran Tiger.

Edisi keempat Kejohanan Golf Maybank akan berlangsung di Kelab Golf & Country Saujana, Shah Alam dengan menawarkan hadiah keseluruhan AS$3 juta (RM12.24 juta).

Pemain sensasi India, Shubhankar Sharma turun dengan misi mempertahankan kejuaraan.

Bintang muda berusia 22 tahun itu bagaimanapun bakal berdepan cabaran jaguh handalan dunia seperti Scott Hend (Australia), David Lipsky (Amerika Syarikat), Thongchai Jaidee (Thailand) serta jaguh golf negara, Gavin Green.

Bagi mereka yang merancang untuk mengunjungi Kejohanan Maybank, perkhidmatan ulang-alik setiap hari sepanjang empat hari di sekitar kawasan Saujana disediakan.

Harga tiket dijual antara RM38 hingga RM88. Khas untuk pelanggan Maybank, layak menerima dua tiket percuma apabila mempamerkan kad kredit, kad debit, atau kad caj Maybank, selain satu pas percuma apabila menunjukkan aplikasi Maybank, Maybank QRPay atau MAE di kaunter pendaftaran.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara yang akan datang serta maklumat lain berkaitan dengan Kejohanan Maybank, sila log masuk ke: www.mayabankchampionship.com.my - UTUSAN ONLINE

AKTIVITI SAMPINGAN KEJOHANAN MAYBANK 2019

- Sesi yoga bersama Atilia Haron dan Shireen Salleh di The Village dari 8:30 hingga 9:30 pagi.

- Persembahan tarian Maybank KataKatha ASEAN di The Village dan khemah lain pelbagai masa.

- Sesi memasak Master Classes oleh Master Chef, Diana dan Sashi dari 21-23 Mac di The Village pukul 10 pagi hingga 3 petang.

- Sesi bertemu dan beramah mesra eksklusif bersama Nemanja Vidic dan Luis Garcia pada 21 Mac pukul 10.30 hingga 11 pagi di The Village.

- Pertunjukan fesyen Eco-Weavers Wanita dari 22 dan 23 Mac dari pukul 3 hingga 3.30 petang.

- Trak makanan diletak berdekatan The Hill dan The Garden akan menyajikan hidangan tempatan Asia dan Barat yang lazat.

- Laluan berhalangan Cabaran Tiger untuk mereka yang bersedia menguji kekuatan di sekitar The Village.