Juara bertahan Johnson tewas 1 dan 3 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan di tangan Bernd Wiesberger dari Austria dalam kejohanan yang berlangsung di Kelab Country Austin di Texas.

Sementara McIlroy, yang kembali menunjukkan prestasi sebenarnya dengan kemenangan pada Jemputan Arnold Palmer Ahad lalu, dikejutkan oleh Peter Uihlein dalam pertembungan Kumpulan Enam.

Uihlein, pilihan ke-57, menguasai permainan sepanjang sembilan lubang pertama, mencatat tiga birdie awal untuk mendahului 4-up menjelang sembilan lubang seterusnya.

Birdie di lubang 10 melebarkan kedudukannya kepada 5-up dan walaupun McIlroy bangkit dengan lima birdie berturut-turut pada lewat permainan, ia sekadar merapatkan jurang kepada 2-up menuju ke lubang 17 dan pemain 28 tahun itu bertahan untuk menang 2 dan 1.

“Ia amat sukar kerana dia bangkit pada lewat permainan. Saya rasa jika saya terus mencuba saya mampu memenanginya.

“Sukar untuk mengawal apa yang dia lakukan. Ia seperti perlawanan tinju, jika anda melepaskan beberapa tumbukan anda tahu dia akan membalasnya. Tapi saya mampu mengekangnya dan ia cukup melegakan,” kata Uihlein.

Format round-robin kejohanan WGC Match Play sejak 2015 memberikan peluang buat Johnson dan McIlroy untuk bangkit dalam kempen mereka dengan dua lagi perlawanan peringkat kumpulan hari ini dan esok sebelum pusingan kalah mati bermula Sabtu ini. - AFP