Juara Terbuka Amerika Syarikat itu menjadi antara pemain yang berjaya merangkul kejuara­an selepas menghuni kedudukan No.1 dunia sekali gus menyamai rekod Ian Woosnam, Adam Scott, Vijay Singh dan David Duval.

“Kemenangan ini sungguh bermakna. Persaingan sangat sengit. Tekanan yang saya hadapi sangat tinggi tetapi saya berjaya menampilkan permainan cemerlang sepanjang minggu ini,” katanya.

Selepas dua hari menamatkan persaingan dengan 66 pukulan, Johnson melakukan tiga di bawah par 68 dalam pusingan terakhir selepas berjaya mengatasi dua bogey dengan melakukan birdie di lubang ke-15 untuk mengumpul 270 pukulan, 14 di bawah par.

Fleetwood menamatkan persaingan di kedudukan kedua dengan 271 pukulan manakala Rahm berkongsi kedudukan ketiga bersama Ross Fisher dari England dengan 272 pukulan manakala Thomas Pieters dan Justin Thoma di kedudukan kelima dengan 273 pukulan.

“Saya rasa saya bermain dengan cukup baik kerana saya menang de­ngan kelebihan satu pukulan sahaja,” kata Johnson.

Ini merupakan kejayaan kedua pemain berusia 32 tahun itu sejak merampas kedudukan No.1 dunia di Riviera dan kejayaan itu merupakan kejuaraan PGA ke-14 dalam kariernya.

Juara empat kali kejohanan utama Rory McIlroy mampu merampas kedudukan Johnson sekiranya muncul juara kejohanan itu tetapi dia sekadar berkongsi kedudukan ketujuh bersama Phil Mickelson dan Brandt Snedeker dengan 274 pukulan. – AFP