Impian ini akan menjadi realiti jika kaki-kaki golf berkunjung ke IOI Palm Villa Golf & Country Club (IOI Palm Villa) di Senai, Johor. Hanya lima minit perjalanan dari Lapangan Terbang Senai, 20 minit dari Singapura melalui Leburaya Link Kedua dan 28 kilometer dari pusat bandar Johor Bahru, IOI Palm Villa sedia melayani tetamu pada harga ‘no komen’.

Tiga lapangan sembilan lubang - Palm Course, Putra Course dan IOI Course dengan hamparan rumput zoysia matrella di fairway, tee box dan rough, manakala bermuda tifdwarf di permukaan green, sudah pasti padang golf ilham Rick Robbins ini akan memberi keterujaan dan kepuasan kepada kaki-kaki golf apabila beraksi di sini.

Ketenangan jiwa sudah pasti akan terserlah tatkala melihat landskap yang menarik dengan pokok-pokok sawit semula jadi yang menghijau, bahkan lebih menakjubkan ketika berada di lubang satu IOI Course, anda akan dapat melihat Gunung Pulai ketika berada di tee box.

Pengurus Kelab IOI Palm Villa, Mohamad Fadil Ami berkata, sememangnya IOI Palm Villa adalah sebuah padang golf direka khusus bagi memenuhi cita rasa pemain golf yang inginkan keseronokan dan ketenangan dengan keindahan hutan alam semula jadi.

Menurutnya, Palm Course yang panjangnya 3,012 meter, Putra Course (3,097 meter) dan IOI Course (3,253 meter) akan menguji kehandalan pemain dengan perangkap kolam, rough, water hazard, lencongan fairway dan berbukit.

“Ramai pemain golf yang datang ke sini terutama pada hari minggu kerana harga di sini murah. Selalunya di kelab-kelab lain, kalau hujung minggu terutama Sabtu dan Ahad, harganya mahal. Tetapi di IOI Palm Villa, kita caj harga seperti hari biasa.

“Pada hari biasa, seramai 120 orang pemain tempatan terutama dari Johor dan luar Johor. Tetapi kalau hujung minggu seperti Sabtu dan Ahad kira-kira 150 orang. Jumlah purata dalam sebulan kira-kira 3,500 hingga 4,000 pemain golf datang bermain di sini.

“Daripada jumlah itu, 70 peratus daripadanya adalah pemain dari Singapura, terdiri dari orang Korea, Jepun, dan lain-lain bangsa,” katanya ketika ditemui di IOI Palm Villa, Senai, Johor, baru-baru ini.

Seperti kelab-kelab golf yang lain, IOI Palm Vila juga turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk bilik persalinan, surau, restoran, pro shop, putting green dan lapang sasar (driving range). Dan jika pemain golf membawa bersama ahli keluarga, mereka boleh mandi di kolam renang atau bermain badminton, squash, tenis dan snuker, ataupun boleh tenangkan diri di sauna.