Aksi hari kedua CIMB Classic yang berlangsung di venue tersebut menyaksikan pemain berusia 30 tahun dari Washington itu mencatat 68 pukulan, empat di bawah par untuk mengumpul 134 pukulan, 10 di bawah par secara keseluruhan.

Dia memberitahu, keadaan padang hampir sama seperti semalam dan sama sekali tidak menyedari hujan turun dengan lebat di sebelah malam kerana tiada sebarang perubahan berlaku ke atas fairway atau green.

“Saya sangat kagum dengan sistem saliran di lapangan ini. Green berada dalam keadaan baik, bola masih lagi melantun seperti biasa selain bola saya tidak diliputi sebarang lumpur.

“Dengan hujan lebat seperti semalam dan bermain seperti hari ini, lapangan ini sememangnya hebat,” katanya.

Meskipun ketinggalan empat pukulan di belakang pendahulu, Dahmen tidak akan menjalani sebarang latihan di sebelah petang sebaliknya mahu menikmati suasana di bandar raya ini.

“Untuk saya yang berdepan masalah jet lag, kami seboleh-bolehnya tidak mahu tidur, saya mungkin akan pergi mendapatkan urutan atau mencari makanan yang sedap di bandar raya ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE