KEJAYAAN Li Haotong meraih trofi selepas menjuarai Klasik Dubai Desert membuka mata pencabarnya yang akan beraksi dalam Kejohanan Maybank 2018 di Saujana Golf & Country Club, hari ini. AP

Kata Haotong, prestasi dia kini berada di tahap terbaik malah tidak sabar untuk memulakan aksi dalam Kejohanan Maybank 2018.

“Pukulan putt saya juga sudah bertambah baik dan diharap mampu mendapat jumlah skor yang amat menakjubkan pada minggu ini.

“Saya sudah melihat keadaan di lapangan ini dan saya berpendapat anda perlu sentiasa meletakkan bola di atas fairway bagi mudah melakukan birdie.

“Perkara pertama yang harus saya fikirkan adalah berusaha untuk melepasi cut dalam kejohanan ini,” katanya dalam sidang akhbar di Saujana Golf & Country Club, dekat sini, hari ini.

Haotong melakar namanya dalam catatan sejarah apabila muncul pemain lelaki pertama China berada dalam kelompok 50 terbaik dunia.

Pemain itu berjaya memperbaiki ranking dari kedudukan ke-60 ke tangga 32 dunia selepas memenangi kejohanan Klasik Dubai Desert pada 28 Januari lalu.

Jaguh China itu berjaya mengatasi juara utama empat kali McIlroy di Dubai bagi gelaran Jelajah Eropah keduanya, selepas kemenangan sulung dilakar di laman sendiri pada Terbuka China 2016.

Lebih membanggakan Haotong, 22 tahun kini adalah pemain termuda berada dalam kelompok 50 teratas

Kejohanan Maybank 2018 akan membuka tirainya pada esok hingga 4 Februari ini dan diiktiraf bersama oleh Jelajah Eropah dan Jelajah Asia.