KUALA LUMPUR 16 Okt. – Pemain golf negara Gavin Green akan mengetuai cabaran empat pemain utama daripada senarai Order of Merit Jelajah Asia untuk beraksi dalam Kejohanan Golf Dunia (WGC)-HSBC di Shanghai, minggu hadapan.
Green, yang merupakan pendahulu Order of Merit Jelajah Asia, akan beraksi bersama David Lipsky (Amerika Syarikat), Scott Hend (Australia) dan S.S.P Chawrasia (India) dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$9.5 juta (RM40.06 juta) di Shenshan International Golf Club bermula 26-29 Oktober ini.
Kuartet Jelajah Asia itu akan berdepan cabaran pemain No.1 dunia, Dustin Johnson; pemain No.3 dunia, Hideki Matsuyama dan Jason Day dari Australia di kejohanan terakhir dunia untuk tahun ini.
Aksi kurang memberangsangkan dalam CIMB Classic yang berakhir semalam tidak menjejaskan kedudukan Green selaku pendahulu Order of Merit Jelajah Asia apabila kekal selaku peneraju selepas mengumpul AS$542,536 (RM2.28 juta).
Pemain berusia 24 tahun itu yang akan membuat penampilan sulung dalam WGC-HSBC memberitahu, dia akan memberi tumpuan lebih kepada sesi latihannya khususnya melibatkan permainan pendek serta kekuatan mental bagi berdepan cabaran getir di Shanghai.
“Saya akan beri tumpuan lebih kepada permainan pendek kerana saya bergelut dengan permainan saya sepanjang minggu ini (CIMB Classic),” katanya.