Kejohanan yang memasuki edisi ke-44 itu bakal disertai pemain-pemain golf wanita handalan dunia dari lapan negara seperti dari Jepun, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia, malah buat kali pertama menyaksikan kehadiran pemain dari Bangladesh, Kazakhtan dan Sri Lanka.

Pemain-pemain akan bertan­ding untuk merebut empat trofi yang dipertandingkan; Tuanku Bahiyah, Toh Puan Norashikin (Nett Champion), Datin Azian (Team Gross Champion) dan Clarissa Lee (Team Nett Champion).

Selain hadiah piala pusingan, pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada pemenang, termasuk sebuah kereta Peugeot 3008, sepasang anting-anting berlian bernilai RM23,000, sepasang tiket penerbangan pulang ke mana-mana destinasi Eropah dan jam mewah Titoni kepada pemain yang berjaya melakukan pukulan Hole in One.

Menurut Pengerusi Kejohanan Terbuka Amatur Wanita RSGC, Datuk Yasmin Yusuff, pihaknya berbangga dan bersemangat dapat menganjurkan kejohanan berprestij itu demi memberi inspirasi kepada generasi muda dan menggalakkan mereka untuk meneroka potensi permainan golf.

“Saya bangga mengatakan bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita telah melihat peningkatan dalam penyertaan oleh pemain golf junior.

“Kejohanan Terbuka Amatur Wanita RSGC menjadikan Kuala Lumpur sebagai batu lonjakan bagi bakat-bakat muda dan menyumbang kepada pertumbuhan permainan golf rantau ini,” katanya dalam sidang akhbar di RSGC, di sini baru-baru ini.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu dibuka kepada pemain-pemain amatur dengan handicap USGA sebanyak 17.4. Pemain-pemain akan bersaing dalam acara Individu dan berpasukan Gross dan Nett.

Kejohanan itu lebih bermakna sempena sambutan ulang tahun ke-125 RSGC di samping pelancaran logo baharunya. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang kejohanan di http://lao.thersgc.com/. Penyertaan ditutup pada hari Ahad, 5 Ogos 2018.