Pengerusi penganjur, Lokman Ishak berkata kelima-lima pemain itu ialah Loh Junyou, Azwan Abu Bakar, Sufian Riba, Datuk Jamaluddin Abdul Razak dan Zannuar Md Dum.

Junyou akan bermain bagi kategori A (handicap 0-5); Azwan Kategori B (handicap 6-10); Sufian Kategori C (handicap 11-15); Jamaluddin Kategori D (handicap 16-20) dan Zannuar Kategori E (handicap 21-25).

Kelima-lima mereka akan berdepan dengan pemain dari 31 buah negara termasuk empat negara yang baharu pertama kali menyertai kejohanan iaitu Jepun, New Zealand, Surinam dan Estonia.

Menjadi tuan rumah buat kali kedua untuk kejohanan itu selepas Kuala Lumpur pada tahun lepas, Malaysia juga mempunyai tujuh pemain untuk berentap dalam kategori jemputan.

"Kejohanan kali ini berlangsung di Forest City Golf Resort, The Els Club Desaru Coast, Horizon Hills Golf and Country Club dan Palm Resort Golf and Country Club.

"Semua pemain adalah pemenang pada peringkat akhir kebangsaan di negara masing-masing, seterusnya layak mewakili negara mereka untuk pusingan akhir WAGC di Malaysia," katanya kepada pemberita pada perasmian hari pertama kejohanan itu di sini, hari ini.

Kejohanan dianjurkan bersama Tourism Johor dan Tourism Malaysia itu dirasmikan oleh Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Turut hadir Presiden Persatuan Pelancongan Golf Johor, Kolonel (B) Mohd Jamal Salleh. - BERNAMA