Pemain golf berusia 47 tahun dari Afika Selatan itu mencatat keputusan dua di bawah par dengan 70 pukulan di lapangan golf Erin Hills, semalam, untuk penampilan beliau yang ke-25 kali Terbuka AS.

Jika tidak kerana catatan bogey di dua lubang berturut-turut, Els mungkin mencatatkan keputusan yang lebih.

Els bagaimanapun tetap gembira kerana masih menjadi pencabar pada kejohanan bertaraf major itu walaupun kerjaya beliau sebagai pemain golf semakin merosot.

"Saya perlu gembira dalam apa juga keadaan,” kata Els.

"Jika anda mencatat dua di bawah par untuk pusingan pertama Terbuka AS, anda berada di landasan yang betul,” kata Els yang ketinggalan dengan lima pukulan di belakang pendahulu Rickie Fowler yang mencatat tujuh di bawah par dengan 65 pukulan.

Els turut mendedahkan beberapa kecederaan yang dialami telah menjejaskan prestasi beliau sepanjang musim ini.

"Prestasi saya sangat buruk tahun ini,” kata juara major sebanyak empat kali itu dan hanya menduduki tempat ke-53 pada kejohanan Masters pada April lalu.

"Secara fizikal saya masih lagi sihat. Kecederaan di belakang, pinggul, bahu dan lutut memang mengganggu.

Els yang menggunakan khidmat jurulatih baharu banyak membantu meningkatkan permainan beliau dalam minggu ini.

"Saya ada jurulatih saya Vern di sini, dan saya rasa sedikit lebih baik. Jadi saya rasa lega,” tambah Els yang terharu bila diajukan tentang kali terakhir kemenangan beliau di Terbuka AS adalah 20 tahun lalu iaitu pada 1997.

"Jangan tulis itu. Betul,” katanya.

"Tempoh 20 tahun berlalu dengan begitu cepat. Saya rasakan seperti baru semalam dan saya bersyukur kerana masih lagi mampu bermain golf,” katanya. - AFP