Mohd Sukree, 42, melakukan pukulan tanpa bogey mengatasi R. Nachimuthu, Alex Tiong Wei Zen, Kim Leun Kwang dan Amir Nazrin Jailani, masing-masing mencatat 67 pukulan pada kejohanan itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM200,000.

Juara kejohanan itu juga diberikan slot beraksi pada Kejohanan Klasik CIMB, satu-satunya kejohanan Jelajah PGA yang diadakan di Asia Tenggara, yang menawarkan hadiah wang tunai AS$7 juta (RM29 juta), bulan depan.

Selepas melakukan satu bawah par dengan pukulan birdie pada lubang ketiga, prestasi Sukree semakin cemerlang apabila mencatat tiga birdie berturut-turut pada lubang ke-13, 14 dan 15 sebelum menamatkan saingan dengan satu lagi pukulan birdie pada lubang ke-18.

"Saya melakukan pukulan dengan konsisten dan baik. Pada awalnya saya bergelut dan kemudian bernasib baik pada sembilan lubang kedua pada lubang ke-13 dan 14," katanya Sukree yang merupakan juara sembilan kejohanan tempatan.

"Setiap tahun saya berusaha layak beraksi pada Klasik CIMB...tahun lepas, saya menduduki tempat kelima dan berharap dapat melakukannya minggu ini. Ia berpeluang terbaik beraksi dengan pemain Jelajah PGA kerana kita tidak akan mendapat peluang bersaing di Amerika Syarikat," katanya dalam kenyataan dikeluarkan penganjur, Kumpulan CIMB hari ini.


Sementara itu, pemain golf muda profesional meningkat naik Amir Nazrin, melakukan tujuh pukulan birdie dan tiga bogey untuk mengekori rapat di belakang Sukree.

Pada edisi tahun lepas, beliau menamatkan cabaran di kedudukan ketiga, hanya satu pukulan di belakang dua pemain - Danny Chia dan Gavin Kyle Green - dan berharap dapat beraksi pada Jelajah PGA pertamanya bermula dengan Klasik CIMB. 


"Matlamat utama untuk meraih kemenangan, tetapi dalam beberapa hari ini, penting dalam memburu kejuaraan dan kekal dalam kedudukan. Saya akan berusaha mengekalkan momentum dan kurang melakukan kesilapan," kata pemain berusia 21 tahun itu.


Juara Kejohanan Kebangsaan CIMB akan berpeluang bersaing dengan pemain terkemuka Jelajah PGA, antaranya juara Piala FedEx 2017, Justin Thomas; juara bertahan Klasik CIMB, Pat Perez; bintang Piala Ryder, Paul Casey; pemain ternama Jepun, Hideki Matsuyama; 'Rookie of the Year' 2017, Xander Schauffele dan anggota Dewan Kemasyhuran Golf Dunia, Ernie Els dan Davis Love III.

Kejohanan Klasik CIMB akan berlangsung di TPC Kuala Lumpur dari 11 hingga 14 Okt, yang merupakan saingan kedua dalam musim Jelajah PGA 2018-19. - BERNAMA