Ekoran terpilih menjadi penganjur kejohanan golf berprestif bertaraf amatur yang memasuki edisi ketujuh kali ini, BHGCC kini giat memperkemas kini lapangan dan ‘green’ bagi menyerlahkan kesempurnaan, menepati piawaian kejohanan dan memberi kepuasan kepada para pemain yang akan beraksi selama tiga hari bermula 21 hingga 23 September ini.

Lapangan 18 lubang sepanjang 6,312 meter dan berbukit dengan panorama kehijauan hutan hujan tropika, bukan sahaja memberi keceriaan kepada para pemain tetapi juga menyelitkan cabaran tersendiri dengan permukaan lapangan yang bukan sahaja berbukit tetapi juga beralun.

Keunikan lapangan BHGCC hasil sentuhan J. Michael Poellot ini pernah dipilih antara 20 lapangan golf terbaik di Malaysia (Top 20 Best Golf Course in Malaysia 2010/2011) dan lubang 17 pernah dipilih sebagai 4th Most Scenic Hole in Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Hill Resort Berhad, Teh Ming Wah, lapangan golf BGHCC ini memiliki reka bentuk yang menarik sesuai untuk kejohanan bagi menguji kemahiran dan ketahanan pemain.

Katanya, ramai pemain yang menganggap lapangan BHGCC ini adalah antara yang terbaik kerana ciri-ciri keunikannya tidak menyamai kelab-kelab golf yang lain di negara ini.

“Saya percaya dengan bantuan Pengurus Kelab BHGCC baharu, Mohamad Ishak yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan lapangan golf ini mampu membawa perubahan dalam masa yang singkat kepada BHGCC, sekali gus memberi kepuasan kepada para pemain,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad pula berkata, beliau akan berusaha sehabis mungkin untuk mencorak lapangan BHGCC ke arah yang lebih kompetitif bersesuaian dengan kejohanan seperti Amatur Terbuka Pahang ini.

“Kita tidak boleh membuat lapangan ini terlalu sukar kerana mereka bukan pemain profesional. Cukup sekadar menjadikannya memenuhi piawaian kejohanan bertaraf amatur,” katanya ketika selepas majlis pelancaran kejohanan Golf Amatur Terbuka Pahang 2017 di BHGCC , di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, wakil daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA), Datuk Jaafar Abdullah dan Pengurus Pemasaran Bermas, Rekha Shan.

Lebih 70 pemain golf amatur termasuk dari Singapura dan Brunei akan menyertai kejohanan Golf Amatur Terbuka Pahang dan pihak BHGCC menjangkakan seramai 100 pemain termasuk wanita akan menyertai kejohanan tersebut.

Pada kejohanan kali ini juga, sebuah kereta Mazda 2 sumbangan Bermas bakal menjadi milik pemain yang berjaya melakukan pukulan selubang (Hole in One) di lubang 11 par 3.

Kepada pemain yang berminat menyertai Kejohanan Golf Amatur Terbuka Pahang masih boleh mendaftarkan diri sehingga sehari sebelum kejohanan bermula dengan menghubungi BHGCC di talian +609-2228882.