Gavin berkata kejohanan itu dikenali sebagai "Kejohanan Golf Amatur Remaja Gavin Green-SportExcel" adalah cetusan ideanya sendiri kerana berpendapat ini adalah satu cara untuk menyumbang kepada pembangunan golf di negara ini selain menghargai SportExcel yang membantu merintis jalan baginya mencapai kejayaan dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini.

Juara Jelajah Asia 2017 yang mula bermain di bawah pertandingan anjuran SportExcel sejak berusia lebih tujuh tahun, berharap lebih ramai anak muda dapat dilahirkan menerusi kejohanan itu.

"Ini adalah sesuatu yang saya mahu lakukan semasa saya masih muda dan saya gembira untuk bergabung dengan SportExcel yang memainkan peranan penting dalam kerjaya golf saya dan juga adik saya (Galven Kendall)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Gavin berkata, dia sendiri akan mengendalikan klinik khas selama dua hari semasa kejohanan, selain berkongsi pengalamannya dengan peserta bagaimana untuk menjadi pemain yang baik.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SportExcel, C. Sivanandan berkata seramai 228 peserta termasuk 68 pemain wanita akan menyertai kejohanan itu, sambil menambah ia dibahagikan kepada 10 kategori dari lapan hingga 18 tahun.

"Pada mulanya, kami membuka kejohanan ini kepada kira-kira 120 pemain remaja tetapi memandangkan kami menerima sambutan yang menggalakkan, kami memutuskan untuk menutup tempoh bagi pendaftaran tiga minggu lebih awal.

"Pengerusi kami (Tunku Imran Tuanku Ja'far) sangat gembira dengan sambutan yang diterima daripada ibu bapa," katanya sambil menambah bahawa SportExcel sangat gembira dengan komitmen Gavin untuk menganjurkan pertandingan ini terutama untuk mencungkil pemain-pemain remaja yang berbakat di negara ini. - BERNAMA