Kejohanan selama empat hari yang menawarkan hadiah wang tunai AS$1.8 juta (RM7.62 juta) itu akan menampilkan 78 pemain termasuk pemain No.1 dunia dari Korea Selatan, So Yeon Ryu; Lydia Ko, Ariya Jutanugarn, Anna Nordqvist dan Jessica Korda.

Pemain berusia 28 tahun, Feng, yang pernah menjadi juara dua kali termasuk pada 2014, me­ngakui TPC Kuala Lumpur merupakan antara lapangan kegemarannya dan dia sentiasa akan kembali ber­aksi di sini setiap tahun.

Katanya, keadaan lapa­ngan di sini membuatkan setiap pemain memerlukan strategi khusus dan tidak boleh beraksi terlalu agresif seandainya ingin menjadi juara.

“Saya merasakan, lapangan ini merupakan lokasi sesuai untuk saya mencari semula keyaki­nan apabila diperlukan selain saya memang suka berada di Malaysia kerana ramai orang di sini boleh berbahasa Cina dan saya rasa seperti berada di tempat sendiri.

“Banyak kenangan manis saya di sini. Saya juga menggemari cuacanya, walaupun tidak menentu tetapi saya sukakannya.

“Saya berharap pemain lain akan memberikan saya peluang untuk menang dalam edisi kali ini,” katanya berseloroh semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Tahun lalu, Feng muncul juara dengan kelebihan tiga pukulan mengatasi Suzann Pettersen dari Norway selepas mengumpul 267 pukulan, 17 di bawah par.

Sementara itu, Yeon Ryu gembira untuk beraksi dalam kejohanan itu dan sememangnya akan memberikan fokus sepenuhnya untuk menjadi juara.

Katanya, selepas menjadi pemain No.1 dunia sejak 18 ming­gu lalu, dia juga menyimpan hasrat untuk menjadi pemain terbaik dunia pada tahun ini.

“Bagaimanapun saya tidak mahu terlalu memikirkan anugerah pemain terbaik kerana fokus saya kini adalah LPGA Malaysia.

“Seandainya saya menjadi juara di sini, peluang saya untuk menjadi pemain terbaik dunia semakin hampir,” katanya, yang berjaya merangkul kejuaraan ANA Inspiration 2017.

Sementara itu pemain golf amatur negara Natasha Oon berkata peperiksaan O Level yang bakal dihadapinya esok sama sekali tidak akan menjejaskan persiapannya untuk LPGA Malaysia.

Natasha bakal menduduki peperiksaan matematik esok tetapi dan pemain berusia 16 tahun itu sama sekali tidak bimbang dengan perkara itu, sebaliknya menegaskan bahawa ia bukan suatu masalah besar untuk dirinya.

“Saya tiada masalah dengan kertas matematik kerana sebelum ini saya banyak memberikan fokus kepada latih tubi untuk peperiksaan ini, jadi tiada masalah untuk saya.

“Peperiksaan ini sama sekali tidak akan menjejaskan saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.