Feng beraksi konsisten hari ini dengan melakukan enam birdie untuk menamatkan permainan dengan 65 pukulan, enam di bawah par untuk mengumpul 131 pukulan, 11 di bawah par secara keseluruhan. Kerr dan Sagstrom masing-masing mengumpul 132 pukulan, 10 di bawah par.

Permainan hari ini terpaksa ditangguhkan selama hampir empat jam bermula 11.10 pagi ekoran hujan lebat dan kemudian siren dibunyikan selepas kilat dikesan di sekitar kawasan pertandi­ngan.

Berdasarkan perancangan awal, permainan akan diteruskan sekitar 12.15 petang namun ditangguhkan kerana cuaca buruk masih berterusan dan pusi­ngan kedua hanya di­sambung semula pada pukul 3 petang.

Feng, 28, gembira de­ngan aksi konsistennya dan berharap untuk meneruskan rentak dalam dua hari terakhir kejohanan itu.

“Permainan saya untuk dua hari ini sangat baik, jadi saya akan mengekalkan strategi sama untuk hujung minggu ini.

“Keadaan hujan hari ini membuatkan saya lebih tenang dan saya sempat tidur. Ada kedi sempat mengambil gambar saya dan bergelak ketawa sambil berkata ‘Oh, dia tertidur lagi’,” katanya.