Campillo menamatkan saingan di Saujana Golf & Country Club, Subang dengan enam bawah par 66, sekali gus mengumpul 201 pukulan keseluruhan, 15 bawah par selepas tiga hari saingan.

Dia berkongsi kedudukan teratas bersama pemain Afrika Selatan, Dylan Frittelli yang turut cemerlang mencatat enam bawah par 66, tetapi diekori rapat oleh Berry Henson (Amerika Syarikat) dan Khalin Joshi dari India yang menduduki tempat ketiga menerusi 202 pukulan keseluruhan, 14 bawah par.

“Hari ini amat bagus. Saya melakukan eagle di lubang pertama selepas pukulan driver serta iron enam saya berjaya membantu bagi mendapatkan skor yang baik.

“Bermula dengan eagle pastinya menjadikan anda lebih bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik. Saya memandang ke depan untuk aksi esok dan dalam masa sama amat teruja muncul pendahulu pusingan ketiga,” kata Campillo selepas tamat aksi di Saujana Golf & Country Club, dekat sini, hari ini.

Selain satu eagle, pemain berusia 31 tahun itu turut cemerlang mencatat empat birdie di lubang lima, tujuh 13 dan 16.