Kejohanan selama empat hari yang menawarkan hadiah wang tunai AS$1.8 juta (RM7.62 juta) itu akan menampilkan 78 pemain termasuk pemain No.1 dunia dari Korea Selatan, So Yeon Ryu; Lydia Ko, Ariya Jutanugarn, Anna Nordqvist dan Jessica Korda.

Pemain berusia 22 tahun itu bagaimanapun tidak meletakkan sebarang harapan besar dalam kejohanan itu, sebaliknya mahu terus mempelajari teknik serta strategi permainan daripada barisan pemain utama dunia yang beraksi di sini.

Dia mengakui berdepan pelbagai tekanan daripada pihak luar terutamanya daripada keluarga serta jurulatihnya tetapi dia cuba untuk menikmati kejohanan pertamanya selaku pemain profesional.

“Selepas aksi di Sukan SEA ke-29, saya membuat keputusan untuk tidak lagi menyertai sebarang kejohanan amatur dan keputusan untuk menjadi pemain profesional ini adalah sesuatu yang sangat besar untuk diri saya.

“Tekanan daripada luar memang tinggi kerana mereka meletakkan harapan besar ke atas saya tetapi saya cuba untuk tenangkan diri dan bermain seperti biasa.

“Saya tidak berani untuk meletakkan sebarang harapan besar di sini kerana saya tidak mahu kecewa dan saya harap latihan saya setiap hari akan memberikan hasil positif,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nur Durriyah juga mengakui, cabaran utama yang bakal dihadapinya adalah cuaca panas dan perlu kekal fokus selain bersabar bagi membolehkannya mendapatkan hasil positif.

“Memang cabaran di sini ialah cuaca panas, jadi kami perlu banyak minum air dan kekal sabar sepanjang permainan,” katanya.

Antara pemain negara yang akan beraksi di kejohanan itu ialah Kelly Tan, Michelle Koh, Aretha Pan, Liyana Durisic, Natasha Oon, Winnie Ng dan pemain termuda kejohanan, Zulaikah Nurziana Nasser yang berusia 15 tahun.