Thomas yang muncul juara dua kali berturut-turut pada 2015 dan 2016 mengakui, setiap kali dia menyertai pertandingan itu, banyak kenangan manis akan muncul dalam fikirannya.


“Banyak kenangan istimewa di sini, ini adalah lokasi pertama saya merangkul kejuaraan Jelajah PGA pertama saya.


“Setiap kali saya lihat trofi di dalam pejabat di rumah saya atau menonton klip video, ia akan memberikan kenangan terindah kepada saya. Kejohanan ini antara yang terpenting dalam karier saya,” katanya.


Dalam edisi lalu, Thomas gagal merangkul kejuaraan ketiganya selepas tewas kepada Pat Perez yang muncul juara dengan catatan 264 pukulan, 24 di bawah par secara keseluruhan.


CIMB Classic merupakan kejohanan bernilai AS$7 juta (RM29.06 juta) yang mendapat pengiktirafan bersama Jelajah PGA dan Jelajah Asia selain menjadi satu-satunya kejohanan di Asia Tenggara yang menawarkan mata Piala FedEx.- UTUSAN ONLINE