Pemain berusia 24 tahun itu melakukan catatan 69 pukulan, tiga di bawah par untuk berkongsi kedudukan ke-44 selepas mengumpul 213 pukulan, tiga di bawah par secara keseluruhan bersama enam pemain lain.

Katanya, aksi yang ditampilkan hari ini adalah lebih baik berbanding dua hari sebelum ini selain berjaya melakukan putt dengan baik untuk meraih tiga birdie.


“Pukulan pertama saya di lubang ke-18 sangat baik, disusuli pukulan kedua dan hampir melakukan eagle di lubang itu tetapi saya berjaya melakukan birdie menerusi pukulan putt yang baik,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Green juga berharap dapat menamatkan saingan esok di kedudukan yang lebih baik selain meletakkan harapan untuk memulakan aksi bersama kumpulan pertama pada hari terakhir.

Katanya, dia melihat ada beberapa lubang yang mampu memberikan catatan positif dan berharap dapat menampilkan aksi cemerlang esok.


Sementara itu, rakan senegaranya, Nicholas Fung mengakui aksi hari hari ini bukan terbaik untuknya selepas gagal melakukan sebarang birdie.

“Ini bukan permainan terbaik saya, saya bergelut sepanjang hari untuk mendapatkan catatan yang baik.


“Permainan pendek menyelamatkan permainan saya hari ini, jika tidak sudah pasti catatan saya melebihi 80 pukulan,” katanya yang meraih 75 pukulan, tiga di atas par dan mengumpul 220 pukulan, empat di atas par secara keseluruhan.

Sementara itu, pemain veteran negara, Danny Chia manamatkan saingan dengan catatan par 72 untuk mengumpul 217 pukulan, satu di atas par secara keseluruhan.- UTUSAN ONLINE