Chapchai mengalahkan pemain veteran Filipina, Antonio Lascuna pada lubang pertama pusingan play-off selepas kedua-dua pemain terikat kedudukan 274 pukulan selepas selesai saingan empat pusingan.

Chapchai mula mengorak langkah pada pusingan akhir di Kelab Golf Seri Selangor di Kota Damansara, dekat sini, dengan melakukan catatan empat bawah par 68, sekali gus melonjak ke tangga teratas dengan berkongsi jumlah 10 bawah par 274.

Lascuna melakukan catatan te-rendah sembilan bawah par 63 pada pusingan akhir untuk mengheret penentuan juara ke pusingan play-off. Bagaimanapun, pemain berusia 43 tahun itu tersasar pukulan putt pada jarak lima kaki untuk memberi kemenangan kepada Chapchai.

"Saya tidak fikir mempunyai peluang untuk menang selepas lima tahun. Ini adalah kali pertama menjuarai gelaran menerusi pusingan play-off," katanya kepada pemberita selepas menerima trofi dan hadiah wang tunai US$72,670 (RM234,544) daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sementara itu, pendahulu dua pusingan pertama, Anirban Lahiri dari India, melakarkan empat bawah par 68 untuk menduduki tangga ketiga dengan jumlah 276 pukulan. Pendahulu semalaman, Cameron Smith dari Australia berkongsi tempat keempat bersama empat lagi pemain dengan jumlah 278 pukulan.

Dalam pada itu, Danny Chia dan Shaaban Hussin muncul peserta terbaik negara dengan jumlah ke-seluruhan dua di atas par 286 untuk berkongsi kedudukan di tangga ke-31 bersama tiga pemain lain. - BERNAMA