Kejohanan anjuran Kelab Golf Kota Permai itu diadakan bertujuan mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan kelab tersebut dengan pengamal media tempatan dan juga Singapura.

Pengarah Operasi Kelab dan Perbandaran, Gamuda Land Berhad, Tang Meng Loon berkata, kejohanan golf media merupakan acara tahunan yang dianjurkan kelab dan sentiasa dinanti-nantikan oleh pengamal media.

Beliau berkata, kejohanan itu merupakan platform untuk kakitangan Kelab Golf Kota Permai merapatkan hubungan dengan rakan-rakan dari media yang sentiasa memberi sokongan kepada Kelab Golf Kota Permai.

“Kami berterima kasih kepada pengamal-pengamal media tempatan dan juga dari Singapura yang memberi kerjasama sangat positif,” ujar Meng Loon.

Dalam kejohanan tersebut, Pengurus Kumpulan Pemegang Amanah Media Prima Berhad, Mahathir Mohamad muncul sebagai juara selepas melakukan 78 pukulan gross, diikuti Aziz Abdul Hassan dari NST (81 pukulan gross) dan Imran Mohamad Nor dari Utusan Malaysia di tempat ketiga dengan 83 pukulan gross.

Dalam kejohanan yang sama, tujuh pemain yang berada di tempat teratas secara automatik layak mewakili Malaysia dalam Kejohanan Causeway Cup menentang pasukan media Singapura pada September depan.