Malaysia yang diwakili oleh pemain kebangsaan pilihan Persatuan Golf Malaysia (MGA) diharap dapat memberi saingan, sekali gus merangkul Piala Nomura edisi ke-28 ini buat julung kali sejak ia diperkenalkan pada tahun 1963.


Pemain negara, Muhammad Afif M. Razif, K. Rhaasrikanesh, Muhammad Afif M. Fathi dan Chan Tuck Soon akan bertanding menentang pemain amatur terkemuka dunia seperti Australia, Korea, Jepun, Singapura dan Thailand.


Lain-lain negara yang akan turut memberi saingan ialah Arab Saudi, Qatar, Bahrain, China, Taiwan, Guam, Hong Kong, India, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Filipina, Myanmar, Nepal, Iran, UAE, Fiji dan New Zealand.


Kejohanan Piala Nomura yang sudah berusia 54 tahun ini akan dipertandingan menggunakan format stroke play selama empat pusingan dan setiap pasukan diwakili oleh empat pemain tetapi hanya tiga pemain yang membuat pukulan terbaik sahaja akan dikira sebagai pemenang. 


“Kita mengharapkan pasukan negara akan menyerlah pada kejohanan kali ini terutama menghadapi persaingan peserta luar negara. 


“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja dan juga Sungai Long Golf & Country Club yang sedia menjadi tuan rumah kejohanan,” kata Presiden MGA, Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor ketika ditemui selepas majlis pelancaran kejohanan Piala Nomura di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE