Selain berjaya mengurangkan jumlah perbelanjaan, tuan rumah juga dapat menjimatkan berjuta pound hasil daripada perolehan penajaan, penjualan tiket, hak penyiaran dan penjualan barangan cenderamata.

Daripada 575.6 juta pound bajet yang diperuntukkan, 472.3 juta pound merupakan untuk penganjuran, manakala 90 juta pound lagi bagi keselamatan. Daripada kos penganjuran pula, 372 juta pound datang daripada duit kerajaan.

Selepas bekerja keras, 25 juta pound dapat dikurangkan walaupun pada awalnya bajet asal itu dianggap tidak mencukupi untuk menganjurkan temasya besar seperti ini. Namun, ia tidak boleh dianggap keuntungan tetapi hanya satu bentuk penjimatan sahaja yang berjaya dilakukan.

Ternyata kos yang dibelanjakan ini jauh lebih rendah berbanding Manchester 2002 yang menelan belanja 600 juta pound (RM3.3b), Melbourne 2006 sebanyak AUS$1.144 bilion (RM3.66b) dan New Delhi 2010 AS$11 bilion (RM41b).

Dilaporkan kos dijangka kembali meningkat apabila Gold Coast 2018 menjadi tuan rumah berikutan pengumuman awal yang dibuat penganjur mengatakan bajet AUS$1.5 bilion telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut.

Apa juga jumlah bajet, temasya tetap berlangsung dengan jayanya termasuk Glasgow yang mempertandingkan 18 jenis sukan membabitkan 4,950 atlet daripada 71 negara Komanwel yang mengambil bahagian.

Sukan yang dipertandingkan dari 23 Julai hingga 3 Ogos itu ialah olahraga, badminton, tinju, berbasikal, terjun, gimnastik, hoki, judo, boling padang, bola jaring, ragbi 7-sebelah, menembak, skuasy, renang, ping pong, triathlon, angkat berat dan gusti.

Buat pertama kali sejak 1990, England kembali bergelar juara keseluruhan sekaligus berjaya menyekat Australia daripada meraih gelaran itu buat kali ketujuh berturut-turut.

Bagi Malaysia, Glasgow 2014 menyaksikan pencapaian terburuk dicatat kontinjen negara buat kali pertama sejak 1998 apabila hanya meraih enam emas dengan tiga daripadanya menerusi badminton dan masing-masing satu daripada skuasy, terjun serta angkat berat.

Walaupun tanpa jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei, skuad badminton kekal penyumbang terbaik pingat emas apabila mempertahankan kejuaraan acara berpasukan campuran, selain menerusi gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dalam beregu lelaki dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei bagi beregu wanita.

Emas skuasy pula disumbang Datuk Nicol David dalam acara perseorangan wanita, Mohd. Hafifi Mansor menerusi angkat berat kategori 69kg dan Ooi Tze Liang dalam acara terjun 3 meter papan anjal lelaki.