Walaupun, jumlah acara dalam gimrama dan artisitik dikurangkan Filipina selaku tuan rumah edisi ke-30 itu berbanding temasya 2017, MGF tetap berhasrat menghantar pasukan terkuat untuk memastikan mereka sekurang-kurangnya mampu mempertahankan emas yang dimenangi, dua tahun lalu.

Pemangku Presiden MGF, Kau Git Kaur berkata, dalam kes artistik, dua prospek emas sudah boleh dilupakan apabila Filipina menggugurkan acara berpasukan lelaki yang menang perak dan wanita yang meraih emas.

“Sasaran Sukan SEA kita dalam artistik kali ini ialah dua emas daripada gimnas lelaki dan satu daripada gimnas wanita. Untuk mencapainya, kami merancang berlatih di Jepun sama ada April atau Mei ini sebelum pemilihan terakhir atlet dibuat menerusi kejohanan kebangsaan.

“Sekarang ini kami telah menyenaraikan tujuh gimnas wanita dan enam gimnas lelaki untuk dihantar menjalani pendedahan di luar negara. Selepas jumlah itu disenarai pendekkan, mereka yang terpilih akan dihantar menyertai beberapa pertandingan terma­suk kejohanan dunia di China,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN di Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, naib pre­siden MGF, Petrina Low yang juga merupakan delegasi teknikal gimrama Sukan SEA 2019 berkata, latihan disertai lima gimnas di Portugal pada Mac ini akan menjadi penilaian awal untuk memilih dua atlet yang akan dihantar bertanding ke Sukan SEA.

“Daripada lima acara dipertandingkan di Filipina nanti iaitu berpasukan bola, individu gelung, riben, bola dan belantan, kami sasar membawa pulang empat emas. Kalau berjaya raih lima emas, itu bonus,” ujarnya.