Walaupun dipintas oleh Vietnam yang kian gagah membina kejayaan sejak menjadi tuan rumah 2003, ketua kontinjen (Datuk) Low Beng Choo berkata: “Prestasi atlet kita membanggakan terutama yang masih muda. Satu petanda baik untuk masa depan sukan tanah air.”

Peratusan pingat emas Malaysia kali ini turut naik kepada 22.18 peratus berbanding 16.24 peratus di Hanoi dan Ho Chi Minh City dua tahun sebelumnya yang me­nyaksikan 43 emas.

Sementara itu lagu Negaraku didendangkan dan Jalur Gemilang dikibarkan sebanyak 10 kali di Kolej Trace, Los Banos, Laguna oleh gimnas artistik lelaki dan wanita yang diketuai Ng Shu Wai (lelaki) dan Foong Siew Ting serta disokong 10 rakan mereka termasuk dari skuad gimnastik berirama (gimrama).

Mereka ialah Ng Shu Mun, Yap Kiam Bun, Mohd. Azzam Azmi, Lum Wan Foong, Ooi Wei Siang, Nurul Fatiha Abdul Hamid, See Hui Yea, Durratun Nasihin Rosli dan Lim Wen Chean.

Secara solo Shu Wai beroleh tiga emas artistik daripada acara all-around, palang tinggi dan se­naman lantai sementara Siew Ting mengungguli tiga disiplin gimrama (all-around, aparatus belantan dan apatus riben).

‘Raja Kolam Renang’ Lim Keng Liat mengetuai pemenang emas akuatik setelah memenangi 100 dan 200 meter kuak lentang di­ikuti Daniel Bego (100m kuak kupu-kupu dan 200m gaya bebas) di samping penerjun iaitu Bryan Nickson Lomas (10m platform), Leong Mun Yee, Cheong Jun Hoong (terjun seirama papan anjal 10m) dan Yeoh Ken Nee (papan anjal 3m).

Olahraga di tempat ketiga dengan Shahadan Jamaludin paling menonjol apabila membaharui rekod kebangsaan 400 meter lari berpagar, 51.28 saat selain atlet baling tukul besi wanita Siti Shahidah Abdullah dan ratu lompat bergalah Roslinda Samsu.

Ngew Sin Mei pula membaharui rekod lompat ki­jang wanita Sukan SEA, 13.61 meter sementara Robani Hassan merampas kembali takhta 110m lari berpagar milik Nur Herman Majid dari 1991 hingga 2001 malah dilengkapkan dengan kejayaan meraih perak oleh Muhd. Faiz Mohamad.

Berbasikal menambah empat emas antaranya menerusi Suhardi Hassan (177km lepas beramai-ramai), Nor Azian Alias (99.3km) dan pasukan 4km kejar-mengejar serta 4km pecut yang diketuai Fauzan Lutfi dan Junaidi Nasir.

Sembilan emas lagi dihasilkan sukan tempur iaitu karate (empat), silat (tiga) dan taekwondo (dua) namun emas mengejut adalah daripada beregu wanita badminton Wong Pei Tty-Chin Ee Hui dan Kimberley Yap (triatlon) serta tiga penembak.

JIKA sebelum ini hanya olahraga dan sesekali akuatik, gimnastik pula tanpa disangka-sangka melonjak dan mengambil alih sebagai penyumbang utama pingat emas kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Ke-23 di Filipina.