Kompleks silat itu dijangka akan dibina di atas tanah seluas 1.214 hektar berhampiran Istana Budaya di Titiwangsa sementara geran tahunan pula diberikan untuk memberi imbuhan kepada guru-guru pertubuhan silat berdaftar di bawah Pesaka.

Pengumuman itu amat dialu-alukan oleh Presidennya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam yang menyifatkannya sebagai inisiatif untuk memperkasakan seni mempertahankan diri rasmi negara.

Beliau berkata, pembinaan Kompleks Silat Negara akan menjadi simbol kepada bidang persilatan tanah air.

“Antara elemen yang akan diterapkan dalam pembinaan kompleks itu adalah perniagaan seperti mewujudkan gerai-gerai di sana sebagai sumber pendapatan tambahan bagi pertubuhan-pertubuhan silat.

“Justeru saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Penaung Pesaka kerana dengan pengumuman daripada beliau tadi menandakan pengiktirafan kepada silat,” katanya selepas Majlis Himpunan Raksasa Guru-Guru Silat Negara 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, hari ini.

Turut menghargai pengumuman itu ialah Setiausaha Agung Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Khaharuddin Abdul Rahman yang memberitahu, pembinaan kompleks berkenaan dapat memberi nafas baharu kepada warisan seni mempertahankan diri itu.

“Pesilat-pesilat memainkan peranan penting sejak sebelum merdeka lagi malah turut terlibat dalam perjuangan kemerdekaan negara.

“Inisiatif ini bukan sahaja suatu penghargaan malah memberi imej baharu kepada seni mempertahankan diri rasmi negara,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Pengerusi Protokol dan Adat Istiadat Pesaka, Sulleh Udin memberitahu, pemberian geran tahunan kepada pertubuhan silat merupakan satu penghargaan kepada pesilat sejak lebih 60 tahun.

“Selama ini ramai guru-guru silat mengajar seni mempertahankan diri itu tanpa mengharap sebarang balasan dan pendapatan pertubuhan-pertubuhan pula hanya bersandarkan kepada yuran yang dibayar oleh ahli.

“Jadi dengan pemberian geran, menunjukkan Perdana Menteri amat prihatin kepada pesilat-pesilat negara dan itu adalah penghargaan kerajaan kepada kami,” luahnya. - UTUSAN ONLINE