Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, bentuk manfaat itu akan diumumkan kepada para atlet tersebut dalam sesi pemukiman kontinjen negeri ini selama tiga hari mulai esok di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat sini.

Katanya, dalam Sukma kali ini, Negeri Sembilan akan menghantar seramai 406 atlet dalam 30 acara sukan yang ditandingi dalam kejohanan tersebut.

“Kita percaya Negeri Sembilan mampu meraih sekurang-kurangnya 30 emas dalam Sukma kali ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian bendera negeri ini di Wisma Negeri di sini, semalam.

Beliau sebelum itu menyerahkan bendera berkenaan secara simbolik kepada Ketua Kontinjen Sukma negeri ini, Mohamad Taufek Abd. Ghani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri.

Majlis itu turut disaksikan oleh para wakil atlet yang bertanding dalam kejohanan tersebut.

Aminuddin menjelaskan, sasaran emas itu mampu dicapai berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan oleh para atlet dalam acara yang menjadi sasaran kontinjen kali ini.

“Antara acara itu ialah petanque, memanah, wushu, karate-do, ragbi, kriket dan bola keranjang,” ujarnya.

Tambahnya, atlet yang berpotensi meraih emas ialah Norashimah Senin dalam acara petanque; Nur Afisa Abd. Jalil (memanah); Calin Lee Wai Leong (wushu) dan Amira Izzati Khalid (pencak silat).

Dalam Sukma 2016, Negeri Sembilan memungut 61 pingat termasuk 19 emas dan berada dalam kedudukan kesembilan.