Setelah ditumbangkan Indonesia 1-2 malam semalam dan menyulitkan harapan memperbaiki warna pingat itu, prestasi skuad Abd. Talib Ahmad semakin merudum dan sekadar bermain untuk melengkapkan jadual liga sepusingan.

Kecuali regu pertama, tiada langsung keinginan mereka untuk memperjuangkan ‘maruah’ Malaysia sebagai tuan rumah atau cuba menyaingi musuh tradisi itu habis-habisan apabila dua regu selebihnya tewas teruk dengan bawah 10 mata.

Paling mengecewakan ialah sikap Abd. Talib yang enggan ditemu bual media bagi mengulas kekalahan itu. Pasukannya yang hanya mengumpul dua mata liga turut berkongsi gangsa dengan Brunei yang kalah kesemua perlawanan.

Regu Syahir Rosdi (tekong), Hanafiah Dolah/Khairol Zaman Hamir Akhbar (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) masih cuba mengejutkan juara bertahan walaupun akhirnya menyerah 15-21, 17-21 kepada Jantarit Khukaeo yang mengambil posisi tekong utama, Siriwat Sakha dan diapit Pornchai Kaokaew serta Pattarapong Yupadee.

Menyedari Indonesia selesa menewaskan Brunei 3-0 sekali gus mengesahkan perak dan emas terus dipertahankan Thailand sejak 1993, Said Ezwan Said De (Hairul Hazizi Haidzir), Norhaffizi Razak dan Safarudin Abu Bakar pula longlai dibenam Sittipong Khamchan, Anuwat Chaichana dan Assadin Wongyota 10-21, 6-21.

Tanpa cuba merebut sekurang-kurangnya satu mata penawar buat pasukan, Meor Zulfikar Mat Amin, Azlan Alias dan Syazreenqamar Salehan (Zaim Razali) pula mengalah mudah kepada Kritsanapong Nontakote, Thawisak Thongsai (Jirasak Pakbuangeon), Somporn Jaisinghol (Thanawat Chumsena) 9-21, 8-21.

Kapten Malaysia, Syahir Rosdi berkata, kekalahan mungkin kerana tersilap percaturan.

“Kami terlepas pandang Indonesia dan terlalu memikirkan Thailand, ada pemain yang baru kali pertama bermain peringkat antarabangsa.

“Kebanyakan kami berusia awal 20-an dan perlu belajar bagaimana menyerap tekanan ketika ketinggalan,” katanya.