Trio negara itu menamatkan persaingan di tempat ketiga selepas menewaskan pasukan Taiwan 225-223 di Padang Memanah Gelora Bung Karno.

Pingat emas acara tersebut menjadi milik Korea Selatan selepas memperoleh lebih banyak 10 mata berbanding India selepas kedua-dua pasukan terikat pada 229 mata keseluruhan.

Juwaidi berkata, dia berharap kejayaan tersebut mampu memberi nafas baharu kepada skuad compound negara untuk terus cemerlang pada masa akan datang.

“Kami telah buat yang terbaik tetapi tolonglah bantu sukan ini dengan pengurusan yang lebih efisien dan sistematik.

“Jurulatih dipanggil bantu kami sebulan sebelum kejohanan bermula, jadi sukar untuk kami lebih fokus berbanding pasukan-pasukan lain yang tiba dengan persediaan cukup rapi,” katanya.

Bagi Kin Lip, jika mereka diberikan pendedahan yang lebih baik dia percaya mampu melakukan lebih baik lagi dalam kejohanan besar.

“Saya yakin jika skuad compound diberikan pendedahan yang lebih kerap dan menjalani program lebih teratur tidak mustahil pasukan negara mampu menandingi pasukan terbaik di dunia.

“Untuk persiapan kali ini kami hanya menyertai dua kejohanan luar iaitu Siri Piala Asia di Thailand dan Piala Dunia di Shanghai, namun dua kejohanan tersebut tidak cukup untuk menilai prestasi kami dari semasa ke semasa,” kata Kin Lip. – UTUSAN