Tersisih hampir enam bulan ekoran pembedahan lutut tahun lalu, kemunculan semula Fede­rer menyaksikan dia memenangi Terbuka Australia pada Januari lalu yang merupakan gelaran Grand Slamnya yang ke-18.

Selepas tewas di Dubai apabila dikejutkan oleh pemain ke-116 dunia Evgeny Donskoy, Federer sekali lagi berdepan cabaran getir apabila diundi dalam laluan paling getir dalam sejarah ATP sebelum mara ke pentas akhir Indian Wells Masters.

“Saya terlupa bagaimana sukarnya berada dalam laluan mencabar,” kata Federer yang berada di suku akhir bersama pemain No. 2 dunia Novak Djo­kovic dan pemain No. 6 dunia Rafael Nadal; bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Juan Martin del Potro; pemain muda berbahaya Australia, Nick Kyrgios; dan pemain berbakat dari Jerman, Alexander Zverev.

Perlawanan akhir antara Federer dengan rakan senegara Stan Wawrinka bagaimanapun tidak menggugat kedudukan pemain No. 1 dunia Andy Murray, Djokovic.

Federer, yang menghuni anak tangga ke-10 dunia, berkata belum terlintas dalam fikirannya untuk kembali ke kedudukan No. 1 walaupun Murray telah menarik diri daripada menyertai Miami Masters yang akan berlangsung minggu depan setelah mengalami kecederaan siku selain Djokovic yang turut dilaporkan bergelut dengan masalah sama.

“Bagi saya, saya tidak mahu bermain begitu banyak seperti yang anda fikirkan. Saya ha­nya perlu fikirkan kemenangan dalam Grand Slam seterusnya.

“Dan, mungkin satu masih belum mencukupi kerana pencabar lain akan cuba membaca gaya permainan saya, sehingga membolehkan mereka memenangi pertandingan seterusnya.

“Sudah pasti saya suka untuk menjadi No. 1 dunia lagi. Namun buat masa sekarang, selain daripada No. 1 adalah tidak menarik. Jadi sebab itulah kedudukan bagi saya sekarang bukan keutamaan. Keutamaan sekarang adalah menikmati perlawanan dan bermain de­­ngan baik” kata­nya.–­­ AFP