Roger Federer
Roger Federer

Bekas jaguh No. 1 dunia itu yang terpaksa berehat enam bulan kerana menjalani pembedahan lutut tahun lalu, membuat kemunculan semula dengan merangkul gelaran Grand Slam ke-18 pada Terbuka Australia, Januari lalu.

Kemenangan terbaharu hari ini membolehkan dia me­nyamai rekod Novak Djokovic iaitu muncul juara di Indian Wells lima kali selepas turut memenanginya pada 2004, 2005, 2006 dan 2012.

Pada usia 35 tahun, Federer merupakan pemain Jelajah ATP (Persatuan Tenis Profesio­nal) tertua memenangi gelaran dalam kejohanan berstatus elit Masters, sekali gus mengatasi rekod jaguh Amerika Syarikat, Andre Agassi yang muncul juara Cincinnati 2004 ketika berusia 34 tahun.

“Ia satu lagi minggu yang penuh kisah dongeng.

“Bagaimanapun, saya tidaklah terlalu terkejut berbanding ketika di Australia, namun kejayaan ini tetap sangat besar.

“Berjaya muncul juara sekali lagi dan mengalahkan pemain-pemain hebat, selain melihat bagaimana saya melakukannya memang mengejutkan.

“Tiada apa yang lebih menggembirakan saya. Tahun lalu, saya tidak memenangi sebarang gelaran, malah seingat saya, saya gagal ke sebarang perlawanan akhir kecuali di Brisbane. Perubahan ini sesuatu yang dramatik dan hebat,” kata Federer.

Peningkatan pantas yang ditunjukkan Federer bermakna pemain No. 10 dunia itu perlu menilai semula sasaran yang di­letakkannya pada 2017.

Sebelum memulakan Terbuka Australia, sasaran Federer ha­nyalah cuba memperbaiki ­ranking dan me­nempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik sebaik sahaja Wimbledon ber­akhir pada 3-16 Julai. – AFP