Setelah meraih kemenangan tidak diduga pada Terbuka Australia pada pembukaan musim, Federer memilih untuk tidak menyertai Terbuka Perancis dan sebarang kejohanan pemanas badan menjelang kejohanan tersebut bagi membolehkan dia kekal cergas di Wimbledon.

Pemain berusia 35 tahun itu sedar dia mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menjuarai Wimbledon, yang mana dia pernah menjulang tujuh gelaran, berbanding di Roland Garros yang hanya mampu dimenanginya se­kali.

Walaupun Federer tewas dalam pusingan pertama sebaik sahaja kembali ber­aksi di Stuttgart, pemain Switzerland itu segera me­lakukan kebangkitan untuk memenangi pertandingan gelanggang rumput di Halle buat kali kesembilan.

Dia juga kian yakin de­ngan keadaan fizikal dan mental bagi mengharungi cabaran di Wimbledon.

“Saya mahu berada dalam keadaan segar dan bersedia untuk bermain. Saya berbuat demikian tanpa sebarang kompromi tentang musim gelanggang rumput.

“Pada asalnya saya mahu berehat tujuh minggu dan selepas itu, ber­aksi di ge­langgang tanah liat, tetapi saya mengubah pe­rancangan untuk berehat selama 10 minggu. Saya tidak pernah menyesal de­ngan keputusan yang saya buat.

“Ketika membuat keputusan, saya telah bersedia untuk berbuat demikian. Saya banyak berlatih di ge­langgang rumput. Sekarang Wimbledon semakin hampir, anda sudah tentu mahukan yang terbaik.

“Saya cuma perlu fokus pada pusingan pertama dan mengorak langkah dari situ.

“Jika saya berjaya mara lebih jauh, maka saya rasa keputusan untuk tidak menyertai pertandingan ge­langgang tanah liat memang bebar-benar berbaloi,” kata Federer kepada pemberita pada pelancaran Piala Laver di Wimbledon, hari ini. – AFP