Bermain untuk hari ketiga berturut-turut aksi ditunda ekoran masalah cuaca di Indian Wells, pemain berusia 36 tahun dari Switzerland tersebut tidak menunjukkan tanda untuk mengaku kalah apabila mudah membelasah wakil Serbia itu 6-2, 6-1 dalam pertemuan sulung di antara mereka.

Federer yang agak bergelut untuk mengatasi Federico Delbonis dari Argentina di peringkat 64 terbaik semalam, bagaimanapun tidak berdepan masalah besar, hari ini apabila menang 89 peratus untuk mata servis pertama, selain melakukan enam ace dengan hanya beberapa kesalahan.

Dengan musuh ketat Rafael Nadal, Stan Wawrinka dan Andy Murray mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada kejohanan itu, sementara Novak Djokovic serta Kei Nishikori kedua-duanya tersingkir, ia seakan petanda awal untuk Federer menokok gelaran keenamnya di Indian Wells.

Sekalipun berpeluang cerah, namun Federer enggan mendabik dada dan mahu mengharungi perlawanan satu demi satu.

“Anda tidak boleh terus pandang jauh ke separuh akhir, final dan menjangkakan siapa yang akan saya hadapi. Saya fikir, itu satu kesilapan,” kata Federer yang akan berdepan Jeremy Chardy, esok.

Sementara itu, dalam saingan wanita, bekas pemain No. 1 dunia, Serena Williams tewas kepada kakaknya, Venus menerusi kekalahan straight set 3-6, 4-6. Lawan yang bakal menanti Venus di peringkat 16 terbaik ialah Anastasija Sevastova setelah pemain Latvia itu mengetepikan wakil Jerman, Julia Goerges 6-3, 6-3. – REUTERS