Ini berikutan lawan mereka terpaksa menarik diri akibat ce­dera ketika beraksi di pertengahan saingan pusingan pertama itu yang menyaksikan perlawanan hanya sempat berlangsung tidak sampai 45 minit.

Federer, yang sedang memburu gelaran kelapan Wimbledon, sedang mendahului 6-3, 3-0 apabila pemain Ukraine, Alexandr Dolgopolov menyerah kalah akibat cedera perge­langan kaki. Pemain Switzerland itu akan berdepan pemain Serbia, Dusan Lajovic selepas ini.

“Saya dapat merasakan kekecewaan penonton untuk me­nyaksikan perlawanan tenis yang menarik. Ramai tidak percaya perlawanan akan berakhir awal. Penganjur juga merasakan saya dan Novak sepatutnya bermain satu set lagi,” kata Federer.

Mengenai peluangnya untuk menjuarai Wimbledon kali ini, Federer berkata, semua pemain mempunyai peluang sama rata untuk bergelar juara.

“Pada saya tidak banyak beza. Saya sudah pun mencapai impian untuk beraksi dengan sihat di sini. Sekarang kita tengok sejauh mana saya mampu pergi,” tegasnya.

Djokovic pula sedang mendahului 6-3, 2-0 ketika lawannya dari Slovakia, Martin Klizan menarik diri akibat cedera pangkal paha. Pemain Serbia itu akan menentang pemain Republik Czech, Adam Pavlasek dalam pusingan kedua nanti.

“Lawan saya memang sudah bermasalah sebaik sahaja masuk ke gelanggang. Namun saya kekal dengan strategi saya manakala servis saya menjadi pula hari ini,” kata Djokovic yang sedang mem­buru kejuaraan keempat di sini. – AFP