Sehubungan itu, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, langkah tersebut bermula dengan FAM mengeluarkan wang di dalam simpanan tetap persatuan sebanyak RM9 juta untuk membayar hutang atau baki wang insentif tahunan kepada semua 24 pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

Tegas beliau, sebaik sahaja setiap persatuan menerima wang yang akan dibayar minggu depan, mereka diberikan tempoh dua minggu untuk melunaskan hutang masing-masing dan jika masih ada yang gagal melangsaikannya, tindakan akan diambil seperti pemotongan mata, denda serta diturunkan status ke liga yang lebih rendah.

“Buat masa ini hutang keseluruhan FAM ialah RM9 juta iaitu RM500,000 untuk Liga Super (setiap pasukan) dan RM250,000 untuk Liga Perdana (setiap pasukan). Apabila FAM sudah bayar hutang minggu depan, mereka ada dua minggu untuk ambil tindakan, tidak boleh lagi beri alasan mereka tidak boleh buat macam ini sebab FAM.

“Buat masa ini kita tidak ada duit jadi FAM akan ambil dalam simpanan tetap. Walaupun itu simpanan tetapi untuk mengelakkan pasukan-pasukan menjadikan benda itu salah satu alasan maka kita bayar hutang dan beri mereka tempoh untuk langsaikan hutang mereka.

“Ini adalah kali terakhir saya akan bantu dan berikan mereka masa. Jika masih gagal tindakan akan segera diambil untuk memastikan perkara sama tidak berulang, kita tidak mahu lagi beri tempoh tiga bulan... tiga bulan, kalau macam itu sampai bila,” katanya.

Tunku Ismail berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang pertama selepas pemilihan FAM dua minggu lalu di sini hari ini.

Menurut Tunku Mahkota Johor itu, dalam aspek ketelusan pengurusan bola sepak Malaysia, beliau akan memberi akses sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau mana-mana pemain, pegawai perlawanan atau pegawai FAM bagi membanteras gejala rasuah.

Berikutan itu, Tunku Ismail memberi peringatan bahawa sesiapa sahaja yang didapati terlibat dengan rasuah bola sepak akan digantung seumur hidup daripada terlibat dalam sukan tersebut.

“Saya akan jumpa SPRM untuk meminta mereka menyiasat Liga Super dan Liga Perdana. FAM akan bertindak tegas dalam perkara ini. Kita akan gantung seumur hidup kerana tidak mahu sesiapa yang terlibat dengan rasuah boleh kembali selepas dua tahun sebagai jurulatih pula,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai samseng bola sepak, Tunku Ismail berkata, hukuman tegas akan turut diambil iaitu mana-mana pasukan yang gagal mengawal penyokongnya tidak lagi didenda sebaliknya akan dipotong mata sebagai pengajaran.

“Sebelum ini, jika berlaku hooliganisme, pasukan hanya didenda dan mereka akan bayar, namun selepas ini kita akan potong mata agar penyokong sedar bahawa mereka juga bertanggungjawab terhadap pasukan masing-masing,” ujarnya.