Dia melakukan rekod itu, menerusi acara 400 meter (m) rampaian individu lelaki dengan catatan masa 4 minit 30.48 saat (s) mengatasi rekod milik perenang Wilayah Persekutuan, Sebastian Soon 4:30.85s yang dilakukan pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean Julai lalu.

Lebih manis, perenang kebangsaan itu turut memadam rekod Sukma berusia 16 tahun milik Die Uang Manggan yang mencatat masa 4:34.14s di temasya sama pada tahun 2002 di Sabah.

Kepantasan itu menyaksikan perenang berusia 20 tahun itu merangkul emas dalam acara berkenaan manakala perak menjadi milik Sebastian yang melakukan catatan masa 4:30.79s dan gangsa diraih perenang dari Terengganu, Arvin Shau Singh (4:33.01s).

Faang Der mengakui dia hanya mensasarkan untuk memperbaharui catatan masa peribadi terbaiknya dan tidak menjangka dapat mencatat rekod baharu kebangsaan.

“Tidak sangka dapat pecahkan rekod kebangsaan dan meraih pingat kerana ada ramai pencabar yang lebih bagus. Tapi saya terus beri fokus kepada teknik renangan saya tanpa fikirkan perkara itu. Saya sangat gembira dengan kejayaan ini.

“Mula-mula saya hanya sasarkan untuk memperbaiki rekod peribadi terbaik iaitu 4:32.49 yang dilakukan empat tahun lalu di Vietnam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, kejayaan ini juga hadir ketika menjalani latihan di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Paul Birmingham yang telah pun meletakkan jawatan secara rasmi bulan lalu.

“Saya juga mahu mendedikasikan kejayaan ini kepada Paul yang banyak memberi tunjuk ajar dalam mempertingkatkan lagi teknik renangan sehingga berjaya berada di tahap sekarang,” jelasnya yang telah membuat penampilan kali keempat dalam Sukma sejak 2012.

Dalam pada itu, Selangor menepati ramalan sebagai gergasi renang di temasya tersebut apabila membolot lima emas manakala Johor, Terengganu dan Pulau Pinang masing-masing meraih satu emas daripada lapan yang dipertandingkan pada hari pertama acara tersebut membuka tirai.

Sementara itu, Terengganu terus menerajui pungutan pingat keseluruhan dengan meraih 24 emas, 22 perak dan 22 gangsa mengatasi juara edisi 2014, Wilayah Persekutuan di kedudukan kedua dengan 23 emas, 14 perak dan 20 gangsa.

Tempat ketiga, diduduki Pulau Pinang dengan kutipan pingat emas sebanyak 17, 14 perak dan 11 gangsa.