Sebanyak tujuh rekod dunia diperbaharui dalam Sukan Asia 1990 pada 22 September hingga 7 Oktober yang mempertandingkan 308 acara dalam 27 jenis sukan.

Enam daripada tujuh rekod dunia itu diperbaharui di lapa­ngan memanah dan satu berbasikal. Sebanyak 89 rekod Asia juga dapat dipecahkan.

Sukan Asia 1990 turut menyaksikan 13 catatan yang menyamai rekod dunia dan Asia iaitu satu rekod dunia dan 11 rekod Asia.

Selaku tuan rumah temasya edisi ke-11, China turut menunjukkan kecemerlangan apabila muncul sebagai negara pertama meraih pingat emas melebihi jumlah 100.

China menamatkan kempen selaku juara keseluruhan selepas mengumpul 183 pingat emas, 107 pingat perak dan 51 pingat gangsa, pencapaian luar biasa buat sesebuah negara Asia.

Korea Selatan menghuni tempat kedua kedudukan pingat selepas mengumpul 54 pingat emas, 54 pingat perak dan 73 pi­ngat gangsa.

Jepun yang pernah menjadi kuasa utama dalam Sukan Asia pula sekadar menamatkan kempen 1990 di kedudukan ketiga dengan 38 pingat emas, 60 pingat perak dan 76 pingat gangsa.

Temasya Beijing 1990 dibuka secara rasmi oleh Presiden China, Yang Shangkun di Stadium Pekerja manakala penutup di­sempurnakan oleh pemangku Presiden Majlis Olimpik Asia, Roy de Silva.