Bagaimanapun, impian mereka tidak menjadi kenyataan apabila seteru tradisi Australia terus unggul, malah dilihat terlalu kuat buat kontinjen tuan rumah apabila meninggalkan England jauh di belakang di tempat kedua keseluruhan dalam senarai kedudukan pingat.

Dengan sukan renang/terjun (30 emas) menjadi nadi kepada kekuatan Australia, negara Kanggaru itu berjaya merentap ego England untuk muncul juara ke­seluruhan buat kali keempat berturut-turut sejak temasya 1990 dengan memungut 82 emas.

England yang kali terakhir muncul juara pada 1986 pula hanya mampu memungut 54 emas, sekali gus memberi tamparan hebat kepada proses membida London sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2012. London bagaima­napun, tetap berjaya mendapat hak penganjuran yang diumumkan pada 2005.

Namun, di sebalik kegagalan England pada Sukan Komanwel 2002 itu, Manchester mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali menganjurkan sukan untuk atlet para, serentak dengan atlet normal dengan permulaan hanya olahraga, po­werlifting, renang, pingpong dan boling padang dipertandingkan mengikut kategori kecacatan.

Langkah itu menjadi ikutan hingga ke hari ini, malah kini melibatkan sukan seperti berbasikal. Emas yang dimenangi atlet para turut dikira dan dicampur dengan atlet normal dalam senarai kedudukan pingat keseluruhan.

Bagi Malaysia, pencapaian kontinjen negara tidak kurang hebatnya apabila berjaya membawa pulang tujuh emas, sembilan pe­rak dan 18 gangsa dengan sukan angkat berat mencatat kejayaan mengejutkan setelah meraih tiga emas, sama seperti penyumbang tetap iaitu badminton.

Emas angkat berat disumbang Amirul Hamizan Ibrahim yang menyapu bersih gelaran snatch, clean & jerk dan keseluruhan kategori 56kg yang ditawarkan pingat secara berasingan.

Seperti biasa pemain badminton negara unggul dalam acara perseorangan lelaki menerusi Muhammad Hafiz Hashim, beregu lelaki Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan kejutan dalam beregu wanita menerusi Lim Pek Siah-Ang Li Peng.

Satu lagi emas disumbang Siti Zalina Ahmad yang menjuarai acara perseorangan wanita bo­ling padang. Selain tiga sukan itu, atlet Malaysia turut mengambil bahagian dalam sukan renang, olahraga, tinju, gimnastik, me­nembak dan skuasy daripada 17 jenis sukan yang dipertandingkan.