Perubahan ini terpaksa dilakukan demi mengelak berlakunya krisis politik berikutan Dasar Apartheid di Afrika Selatan yang boleh mendorong penarikan diri banyak negara yang bertanding.

Antara negara yang paling awal menentang dasar tersebut adalah Kanada yang cukup tidak berpuas hati dengan layanan negatif yang mahu diberikan Afrika Selatan kepada atlet berkulit hitam dan dari Asia.

Mujur London pantas memberi respon dan sedia menyelamatkan temasya itu daripada dibatalkan begitu sahaja. Hasilnya 16 negara bersetuju mengambil bahagian membabitkan 500 atlet dalam temasya kedua yang berlangsung dari 4-11 Ogos 1934.

Daripada jumlah negara yang mengambil bahagian, lima negara membuat penampilan pertama iaitu Hong Kong, India, Jamaica, Zimbabwe (Rhodesia) dan Trinidad. Newfoundland pula bertanding buat kali terakhir atas nama itu sebelum bergabung di bawah bendera Kanada.

Sebanyak enam jenis sukan dipertandingkan dalam temasya kedua ini iaitu olahraga, tinju, berbasikal, boling padang, renang, gusti dan terjun. Buat kali pertama wanita dibenarkan bertanding dalam olahraga, itu pun diberikan dengan berhati-hati dengan hanya acara yang tidak begitu memenatkan diluluskan.

Misalnya acara pecut jarak pendek sahaja dan jika lelaki bertan­ding acara berganti-ganti 4x440 ela, wanita pula dipendekkan kepada 4x220ela sahaja. Ia bertujuan untuk membentuk asas permulaan pembabitan wanita dalam sukan di peringkat antarabangsa.

Kebanyakan acara dilangsungkan di Stadium White City, London kecuali renang dan terjun yang diadakan di Kolam Renang Empire di Wembley serta berbasikal di luar bandar raya London iaitu Stadium Fallowfield di Manchester.

Pada akhirnya, England muncul juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut diikuti Kanada dan Australia di tempat kedua dan ketiga.