Pengurus England, Gareth Southgate mengete­ngahkan beberapa muka baharu ketika seri 0-0 dengan Jerman, Jumaat lalu dan sekali lagi menurunkan ramai pemain muda apabila menentang Brazil awal pagi ini.

Tite yakin England yang kehilangan tonggak seperti Dele Alli, Harry Kane dan Raheem Sterling dalam dua aksi persahabatan terakhir 2017 bakal menjadi pencabar serius di Rusia nanti.

“Walaupun Southgate baru membim­bing England dalam 13 perlawanan, namun dengan pengalaman Dele Alli, Kane dan (Gary) Cahill, saya dapat melihat mereka sebagai pasukan pilihan.

“Saya tidak berkata begitu hanya disebabkan saya kini berada di Wembley, bercakap di depan orang-orang Inggeris.

“Dibandingkan dengan Jepun, tuntutan teknikal untuk pertemuan menentang England lebih tinggi. Berdasarkan sejarah, bola sepak England adalah gabungan teknikal, fizikal, kualiti, hantaran pendek dan triangulasi (pengumpulan data).

“Dalam Liga Perdana ada banyak jurulatih asing dan pemain dengan latar belakang berbeza,” kata Tite.

Brazil, juara dunia lima kali mempamer peningkatan sejak diambil alih Tite pada 2016, dan pasukan itu layak ke Piala Dunia 2018 selepas meraih 13 kemenangan daripada 16 perlawanan.

Jumaat lalu, mereka mengalahkan Jepun 3-1 dalam aksi persahabatan yang menyaksikan penyerang muda Manchester City, Gabriel Jesus, 20, cemerlang meledak gol antarabangsa kelapannya. – AFP