Atlet angkat berat Wilayah Persekutuan, Jabriella Teo Samuel paling mencuri tumpuan apabila berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara snatch bawah 75 kilogram (kg) dengan mengangkat 86kg untuk mengatasi rekod lama milik atlet Johor, Arisha Farra Erwin yang dilakukan di Melaka pada 2010 dengan jumlah angkatan 85kg.

Jabriella juga telah memperbaharui rekod temasya dengan jumlah angkatan yang sama, namun percubaannya untuk cuba memecah rekod dalam acara clean & jerk gagal setelah dia sekadar mampu mengangkat 100kg berbanding rekod kebangsaan (102kg) yang dilakukan Arisha.

Sementara itu, dua lagi rekod temasya diperbaharui di Pusat Akuatik Tuanku Zara menerusi perenang Melaka, Foong Wei Tze dalam acara 50 meter kuak dada lelaki dengan mencatatkan 28.86 saat bagi membaiki rekod temasya lalu di Sarawak yang dicipta Yap Kah Choon Shaun dari Selangor (29.31s).

Satu lagi rekod kejohanan baharu dicipta perenang Johor, Tia’A Faang Der dalam acara 200m kuak kupu-kupu lelaki dengan catatan dua minit, 2.30 saat untuk membaiki rekod sendiri 2:02.93s yang dilakukannya di Sarawak dua tahun lalu.

Dalam pada itu kontinjen Wilayah Persekutuan terus menerajui kedudukan kutipan pingat keseluruhan dengan 36 emas, 26 perak dan 38 gangsa, diikuti Terengganu yang me­ngumpulkan 32 emas, 30 perak serta 42 gangsa.

Juara keseluruhan dua tahun lalu, Selangor terus mengejar pendahulu carta keseluruhan apabila berjaya meraih 29 emas, 47 perak dan 50 gangsa setakat ini.

Esok, 65 pingat emas bakal menjadi rebutan termasuk acara muay yang menawarkan jumlah terbanyak iaitu 15. Acara lain yang menawarkan pingat esok adalah olahraga (14), silat (sembilan), renang (lapan), angkat berat (empat), basikal (empat), tae­kwando (tiga), boling (dua), terjun (dua) dan bola tampar (dua).