Tekong berusia 21 tahun itu berkata, ada kemungkinan musuh tradisi negara itu hanya mahu mempertahankan emas berpasukan dan tidak menyertai antara regu seperti mana di Singapura pada 2015 sehingga memudahkan laluan Malaysia untuk memenanginya.

“Kami sasarkan emas berpa­su­kan kali ini, sudah lama Malaysia tidak memenanginya. Antara regu mungkin terjadi lagi (Thailand tidak menyertainya). Kalau boleh biarlah kesemua 12 pemain (termasuk simpanan) yang mendapatkan emas itu, bukan hanya lima lagi (antara regu).

“Namun antara regu pun kita tidak boleh pandang mudah ke­rana kalau Thailand tidak ma­suk pun, Indonesia dan Filipina bukan calang-calang lawan, me­reka sudah makin meningkat,” katanya di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Malaysia meraih emas antara regu Sukan SEA Singapura 2015 dengan menewaskan Filipina, Laos dan tuan rumah namun dibenam mudah oleh Thailand 3-0 dalam acara berpasukan.

Kali terakhir Malaysia me­raih emas berpasukan dan antara regu sekali gus ialah dalam Sukan SEA Manila 1991 manakala di Kuala Lumpur 2001, skuad negara hanya beroleh perak berpasukan dan gangsa antara regu.

Syahir berkata, skuad negara tidak sesekali akan merelakan Thailand berterusan membawa pulang emas Sukan SEA, justeru ke­lebihan bermain di gelanggang sendiri pada Ogos ini wajar dimanfaatkan.

“Beberapa bulan lalu, kami bermain dalam tiga kejohanan di Thailand dan rasa gerun kepada lawan sudah tiada lagi apabila kerap menentang beberapa pemain terbaik mereka. Kami juga ba­nyak mengkaji kemampuan dua tekong utama lawan,” katanya.

Penolong jurulatih negara, Mohd. Rashidi Nordin berkata, skuadnya yang kini di tahap 70 peratus persiapan akan ke Pekanbaru, Indonesia untuk siri perlawanan ujian di sana selepas Aidilfitri sebelum menentang kelab-kelab tempatan.

“Selain Thailand, banyak negara yang telah meningkat sejak Piala Raja Thailand 2016 antara­nya Filipina yang menjuarai acara beregu dan Myanmar yang kita juga tahu memang bagus dalam acara itu (juara Sukan Asia). Indonesia pula memang­gil ramai pemain lama untuk Sukan SEA ini,” katanya.

Dari 9 hingga 10 Jun lalu, skuad negara mengadakan siri perlawanan ujian dengan kelab Tentera Laut Thailand yang berkesudahan seri 8-8 dalam antara regu.